Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee berkata pada Jumaat, tentera Israel memulakan operasi awal dan peringkat awal serangan ke atas bandar Gaza, dan beroperasi dengan intensiti tinggi di pinggir bandar itu, lapor Xinhua.
Dalam mesej video disiarkan di X, Adraee dilaporkan berkata tentera (Israel) akan memperhebatkan serangan dan tidak akan teragak-agak sehingga ia membawa balik semua tebusan dan membongkar Hamas.
Juga pada Jumaat, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan berkata dalam satu kenyataan, jeda kemanusiaan 10 jam setiap hari di bandar Gaza dibatalkan, sambil menambah bahawa bandar itu mulai sekarang merupakan “zon tempur berbahaya”.
Menurut laporan Xinhua, rehat harian dari 10 pagi hingga 8 malam waktu tempatan (0700-1700 GMT), bermula pada 27 Julai berikutan pengumuman IDF.
Jeda itu dikatakan diselaraskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bantuan antarabangsa, merangkumi tiga kawasan di Jalur Gaza – bandar Gaza, Al Mawasi, dan Deir al-Balah – dan bertujuan untuk memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada penduduk.
Walaupun mendapat tentangan antarabangsa, tentera Israel, yang telah mengepung bandar Gaza selama berminggu-minggu dengan serangan udara dan artileri berat, baru-baru ini mengumumkan ia sedang menyediakan operasi untuk menguasai bandar itu.



