Hormuz

  • Iran isytihar Selat Hormuz ditutup sepenuhnya

    Tentera laut Kor Pengawal Revolusi (IRGC) Iran berkata ia melanjutkan penutupan ke koridor yang telah ditetapkan sebelum ini untuk laluan selamat kapal melalui laluan air strategik itu dan mengisytiharkan selat itu ditutup sepenuhnya sehingga sekatan AS ke atas pelabuhan dan kapal Iran ditarik balik, menurut berita AP.

    Dalam satu kenyataan lewat Sabtu yang disiarkan oleh media kerajaan Iran, tentera laut memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang melanggar akan disasarkan.

    Iran menganggap sekatan AS sebagai pelanggaran gencatan senjata antara kedua-dua negara.

    Dua kapal telah diserang awal pada Sabtu di Selat Hormuz dan di luar pantai Oman, sekurang-kurangnya salah satunya oleh kapal perang Iran, menurut AP.

  • Iran dilapor luluskan laluan kemanusiaan melalui Selat Hormuz

    Iran pada Sabtu meluluskan laluan kapal yang membawa barangan kemanusiaan dan keperluan melalui Selat Hormuz, menurut surat oleh pejabat pembangunan perdagangan Kementerian Pertanian, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Tasnim separa rasmi Iran.

    Disokong oleh kerajaan dan angkatan tentera, arahan itu membenarkan kapal yang membawa barangan keperluan dan makanan ternakan melaluinya di bawah protokol yang ditetapkan, kata laporan itu.

    Selepas kelulusan itu, persatuan industri memaklumkan syarikat ahli mereka untuk meneruskan penghantaran kapal kargo ke pelabuhan selatan Iran susulan pemansuhan sekatan sebelumnya, tambahnya.

  • Kapal tangki LNG Jepun pertama transit di Selat Hormuz

    Sebuah kapal tangki gas asli cecair Jepun telah belayar melalui Selat Hormuz, kata pemilik bersamanya Mitsui OSK Lines pada Jumaat, menurut berita Aljazeera.

    Ia merupakan kapal Jepun pertama yang berbuat demikian sejak perang bermula.

    Kapal berbendera Panama itu menyelesaikan transit dengan selamat, kata jurucakap syarikat kepada Reuters, menurut Aljazeera.