LAHAD DATU – Seorang wanita maut manakala 13 cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas sebelum terjunam ke gaung sedalam 15 meter di Ladang Permai, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Kalma, 33, yang juga penumpang pikap jenis Toyota Hilux terbabit.
Kenderaan berkenaan dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan dan terjunam ke gaung.
Seramai 15 mangsa berada dalam kenderaan berkenaan, membabitkan tujuh lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid, berkata sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.53 pagi.
“Semua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa ke atas jalan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kematian seorang mangsa wanita di lokasi kejadian disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) manakala 13 mangsa lain mengalami kecederaan.
BH ONLINE



