Sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel di seluruh Jalur Gaza pada Selasa, lapor Xinhua memetik pertahanan awam di Gaza.
Mahmoud Basal, jurucakap pertahanan awam di Gaza, memberitahu Xinhua 12 rakyat Palestin terbunuh dalam tembakan Israel yang menyasarkan khemah menempatkan orang pelarian di beberapa kawasan di Khan Younis di selatan Gaza.
Basal dilaporkan berkata, enam orang terbunuh apabila pesawat Israel menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Bureij.
Menurutnya, seorang lelaki dan isterinya terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan khemah mereka di kawasan al-Sawarha, barat al-Nuseirat, di tengah Gaza.
Tujuh orang dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah kediaman di kawasan kejiranan al-Sabra, selatan bandar Gaza.
Tujuh lagi dilaporkan terbunuh dalam serangan artileri Israel di kawasan al-Saftawi, utara bandar itu, menurut Basal.
Menurutnya, dua wanita terbunuh apabila helikopter Israel menyasarkan sebuah gudang yang menempatkan orang kehilangan tempat tinggal di bandar Deir al-Balah di tengah Gaza.
Enam orang dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah apartmen kediaman dan perhimpunan rakyat Palestin di kawasan kejiranan al-Jalaa dan al-Zeitoun.
Lapan orang dilaporkan terbunuh dekat pusat pengedaran bantuan di persimpangan Netzarim dan Khan Younis di tengah dan selatan Gaza.
Angka maut di Gaza sejak perang bermula pada Oktober 2023 dilaporkan meningkat kepada 62,819, dengan 158,629 orang cedera, menurut data dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan di Gaza pada Selasa.
Menurut Xinhua, juga pada Selasa pihak berkuasa kesihatan memberi amaran bahawa bank darah hospital di Gaza mengalami kekurangan unit darah dan komponen darah yang teruk dan kritikal.
Sementara itu, tiga orang maut akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan di Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kematian kelaparan kepada 303, termasuk 117 kanak-kanak, Xinhua memetik pihak berkuasa kesihatan pada Selasa.



