Sekurang-kurangnya 15 orang maut akibat kemalangan bas pada malam Khamis di jalan Ella-Wellawaya di wilayah Uva, Sri Lanka, lapor Xinhua memetik polis.
Sekitar 16 cedera dan dimasukkan ke hospital, menurut polis, manakala jurucakap sebuah hospital tempatan dilaporkan berkata, sesetengah mereka dalam keadaan kritikal.
Polis dilaporkan berkata, kemalangan itu berlaku pada malam Khamis apabila bas yang membawa sekumpulan pekerja perbandaran, yang pulang dari perjalanan santai, terbabas dari jalan dan terjunam ke dalam gaung sedalam beberapa ratus meter.
Usaha menyelamat dilaporkan membabitkan polis, tentera, tentera udara, bomba dan penduduk tempatan, dengan operasi sehingga kira-kira 4 pagi waktu tempatan pada Jumaat.



