Kementerian Pertahanan Rusia berkata pada Sabtu, tiga jet pejuang MiG-31 Rusia yang terbang ke wilayah Kaliningrad tidak melanggar ruang udara Estonia, lapor Anadolu.
Ia berkata jet itu menjalankan penerbangan yang dirancang pada Jumaat dari wilayah Karelia ke lapangan terbang tentera di Kaliningrad.
Kementerian itu menekankan bahawa penerbangan itu dilakukan dengan mematuhi peraturan ruang udara antarabangsa dan pesawat itu tidak melintasi ke wilayah mana-mana negara, “seperti yang disahkan oleh pemerhatian objektif”.
“Semasa penerbangan, pesawat Rusia tidak menyimpang dari laluan yang ditetapkan dan tidak melanggar ruang udara Estonia. Laluan penerbangan kekal lebih tiga kilometer dari Pulau Vaindloo, di atas perairan neutral Laut Baltik,” katanya.
Menurut Anadolu, Estonia melaporkan tiga jet MiG-31 Rusia telah melanggar ruang udaranya dekat Pulau Vaindloo.
NATO juga menurut laporan Anadolu, menyatakan bahawa jet Rusia telah memasuki ruang udara Estonia dan perikatan bertindak balas segera untuk memintas dan menghentikan pesawat terbabit.




