KUANTAN – Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang akibat terjatuh ke dalam sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.21 malam.
Susulan itu, beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota bergegas ke lokasi.
“Berdasarkan laporan awal, remaja itu yang dikenali sebagai Muhammad Isyraf Danish Razmi, 15, bersama tiga rakannya melakukan aktiviti memancing sebelum mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada malam tadi membabitkan teknik pencarian di permukaan sungai sekitar lokasi kejadian.
Operasi SAR terbabit bersambung hari ini.
BH ONLINE



