Remaja 14 tahun jadi mangsa penipuan Ah Long, diugut sebar gambar bogel

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun terpaksa meminjam wang daripada Ah Long selepas diperdaya sindiket penipuan kerja dalam talian yang kemudian mengugut menyebarkan gambar bogelnya.

Penasihat Eksekutif Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata mangsa dari Ipoh, Perak menyertai satu kumpulan Telegram yang menawarkan ganjaran wang tunai untuk tugasan mudah.

Menurutnya, mangsa membayar RM30 sebagai yuran permulaan dan menerima RM60 selepas menyiapkan dua tugasan pertama.

“Namun, tugasan ketiga gagal diselesaikan kerana sindiket mendakwa berlaku kesilapan dan mangsa diminta membayar RM1,000 untuk membuka semula bayaran ganjaran.

“Oleh kerana tidak mampu, mangsa meminjam RM1,000 daripada Ah Long dalam talian dan dipaksa menghantar gambar bogel sebagai syarat pinjaman,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, hari ini.

Michael berkata, mangsa cuba meminjam RM3,000 lagi namun ditolak dengan alasan pinjaman lama belum dijelaskan.

“Apabila ibu bapa mangsa mengetahui perkara itu, mereka membayar RM1,500 kepada Ah Long sebagai penyelesaian, dan mereka anggap perkara sudah selesai.

“Namun, sindiket kembali menuntut RM15,000 kononnya untuk membetulkan sistem syarikat sambil mengugut menyebarkan gambar bogel mangsa,” katanya.

Michael berkata, keluarga mangsa sudah membuat laporan polis di Perak dan beliau berharap pihak berkuasa, termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan unit siber, dapat bertindak segera.

Sementara itu, Setiausaha Agong Wanita MCA, Ivone Low berkata, kes itu wajar menjadi pembuka mata kepada isu pinjaman Ah Long dalam kalangan remaja dan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat lanjut.

“Mangsa baharu berusia 14 tahun dan dia bukan sahaja menjadi mangsa penipuan kerja dalam talian, malah jadi mangsa pemerasan, justeru kita minta PDRM khususnya oleh Unit Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) melihat kes ini.

“Kita tidak menolak kemungkinan sindiket penipuan dalam talian dan Ah Long ini didatangi sindiket yang sama, kerana mangsa terpedaya membuat pinjaman menerusi satu iklan yang dikongsi dalam kumpulan Telegram ,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjerat sindiket penipuan kerja yang semakin agresif menyasarkan remaja.

Dalam pada itu, dua lagi pengadu turut tampil pada sidang media sama untuk berkongsi pengalaman mereka menjadi mangsa pinjaman wang tidak berlesen.

Seorang editor berusia 24 tahun dari Selangor memaklumkan dia meminjam RM18,100 daripada tujuh Ah Long untuk membayar yuran kepada seorang ‘master’ dari Chiang Mai, Thailand yang mendakwa boleh membantunya menang loteri Singapura.

“Mangsa membayar RM1,600 untuk membeli tiket loteri dan dimaklumkan kononnya dia memenangi hadiah kedua bernilai RM1.76 juta.

“Dia kemudian dipaksa membayar RM8,000 untuk cukai dan RM4,000 sebagai tanda terima kasih, tetapi wang kemenangan itu tidak pernah diterima,” kata Michael.

Seorang peniaga wanita berusia 63 tahun dari Subang Jaya pula membuat laporan polis selepas diugut Ah Long yang meminjamkannya RM20,000.

“Wanita itu membayar RM5,000 sebagai bayaran pertama tetapi diugut kedainya akan dibakar sekiranya lewat melunaskan baki hutang,” katanya.

Michael menggesa semua pihak yang terjerat dengan pinjaman tidak berlesen supaya tampil membuat laporan polis, selain mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi mengelak terus menjadi mangsa ugutan dan pemerasan.

BH ONLINE

JEAANSP COD Murah Digital TV 32/26/24/22/19-inch HD 1080P DTV MYTV Smart TV 32/40/43/46/50 Inch Android 14.0 TV
Air fryer Household Smokeless Toaster Timer Oil Free Roaster Breakfast Machine Electric Oven Convection cooker
AXN Foldable Table Anti-slip Mini Table Laptop Notebook Meja Lipat Belajar Pelajar Kanak Computer Study Table 折叠电脑桌
Rak Baju /Single Double Pole Strong Steel Structure Laundry Cloth Rack Organizer / Cloth Hanger Stand / Penyangkut Baju