Serangan Israel pada petang Jumaat menyasarkan sebuah khemah yang menempatkan orang kehilangan tempat tinggal di kejiranan Al-Rimal di barat bandar Gaza dan membunuh tiga orang awam, lapor Agensi Berita & Info Palestin (WAFA) lewat malam tadi memetik sumber perubatan.
Serangan oleh jet pejuang Israel itu dilaporkan turut mencederakan yang lain.
Terdahulu, WAFA melaporkan enam pencari bantuan terbunuh dalam serangan maut Israel di barat laut Jalur Gaza.
Memetik sumber perubatan di Kompleks Perubatan Al-Shifaa, WAFA melaporkan, enam rakyat Palestin yang terbunuh yang menunggu untuk menerima bantuan dan mangsa lain dimasukkan ke hospital selepas tentera Israel menyasarkan pencari bantuan.
Serangan udara Israel juga menurut WAFA menyasarkan sebuah apartmen dekat Masjid Imam Al-Shafi’i di kejiranan Al-Zeitoun di bandar Gaza, meragut nyawa seorang budak perempuan dan mengakibatkan tujuh cedera.
Satu lagi serangan udara menyasarkan sebuah khemah yang melindungi orang kehilangan tempat tinggal di sekitar klinik pesakit luar Hospital Shuhada Al-Aqsa di Deir al-Balah, mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Dalam tempoh 24 jam lalu, menurut WAFA, 54 mayat rakyat Palestin yang terbunuh, termasuk empat ditemui dari runtuhan, dan 831 mangsa cedera telah dimasukkan ke hospital Gaza.



