Beribu-ribu rakyat Cuba dilaporkan berkumpul di hadapan kedutaan AS di Havana pada Jumaat untuk membantah apa yang mereka kecam sebagai pencerobohan AS di rantau itu susulan penangkapan pemimpin Venezuela Nicola Maduro, sekutu Cuba.
Ketegangan antara dua pesaing lama itu telah melonjak sejak serangan AS ke atas Venezuela, yang mengakibatkan kematian 32 pegawai tentera dan perisikan Cuba yang dipercayai mempertahankan Maduro terbunuh, menandakan pertempuran pertama antara tentera AS dan Cuba dalam beberapa dekad, menurut Reuters.
Menurut Reuters, rakyat Cuba yang memakai topi dan jaket dilaporkan berkumpul di jalan tepi laut (waterfront boulevard) Malecon di ibu negara sambil mengibarkan bendera Cuba dan Venezuela di bawah langit kelabu ketika angin kencang dan ombak melanda pantai.
Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel, yang berpakaian tentera hijau zaitun dan membelakangi kedutaan AS, menyeru rakyat Cuba untuk terus bersatu dalam menghadapi tekanan AS, lapor Reuters.
“Tidak, imperialis, kami langsung tidak takut kepada anda…dan kami tidak suka diancam,” katanya sambil berpaling untuk melambaikan jarinya ke arah bangunan kedutaan. “Anda tidak akan menakut-nakutkan kami.”
Kedua-dua pihak telah meningkatkan retorik politik sejak kebelakangan ini, menandakan titik terendah baharu dalam hubungan yang lama dan dingin antara AS dan Cuba yang ditadbir oleh komunis, yang terletak 90 batu (145 km) dari pesisir Florida.

















