Presiden Venezuela Nicolas Maduro berkata pada Isnin, dia memutuskan untuk menggerakkan 4.5 juta militia awam di seluruh negara untuk menggagalkan ancaman perang Amerika Syarikat (AS) terhadap negaranya, lapor Xinhua.
Bercakap pada pertemuan dengan gabenor dan datuk bandar dari gabungan pemerintahnya, Maduro dilaporkan mengumumkan rancangan untuk mengukuhkan militia luar bandar dan bandar, serta mengatur kumpulan tempur di kilang dan tempat kerja.
Dia menyifatkan langkah itu sebagai “gabungan sempurna rakyat, polis dan angkatan tentera” untuk menjamin keamanan dan kedaulatan negara, sambil berkata “rakyat bersedia untuk menentang sebarang serangan”.
Menurut Xinhua, pengumuman Maduro itu menyusuli kenyataan Menteri Pertahanan Venezuela Vladimir Padrino Lopez, yang menuduh Washington cuba mewajarkan tindakan ketenteraan di Caribbean dengan alasan memerangi pengedaran dadah.
Awal bulan ini, Peguam Negara AS Pamela Bondi dilaporkan menawarkan ganjaran sebanyak 50 juta dolar AS untuk maklumat yang membawa kepada penahanan Maduro, menuduhnya mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah antarabangsa.
Maduro menolak dakwaan itu.



