Polis tahan runner warga Singapura, rampas hampir 2 kilogram dadah di pangsapuri

ISKANDAR PUTERI – Polis Johor menahan seorang lelaki warga Singapura yang berperanan sebagai orang tengah atau ‘runner’ bersama hampir dua kilogram dadah di sebuah pangsapuri di Forest City di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melakukan serbuan pada jam 8.40 malam di pangsapuri yang disewa suspek berusia 39 tahun itu.

“Siasatan awal mendapati suspek beroperasi sejak Julai tahun lalu. Dalam serbuan itu, kita merampas 1.7 kilogram heroin bernilai RM13,722 yang boleh digunakan untuk 1,700 penagih dan 67.13 gram syabu bernilai RM7,384 yang boleh digunakan 145 penagih.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM21,106 dan kita turut menyita sebuah kereta jenis Audi A5 hitam bernilai RM32,000 dan satu jam tangan besi warna keemasan jenama Nixon (RM550).

“Jumlah keseluruhan rampasan sitaan RM32,550 manakala keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM53,656,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan dadah dari negara ini sebelum menjadi ‘runner’ dan mengedarkan ke pasaran luar negara.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan terbabit.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan juga boleh dikenakan sebatan.

“Suspek ditahan reman seminggu bermula 12 Februari hingga esok untuk membantu siasatan,” katanya.

BH ONLINE