MELAKA – Polis menahan seorang peniaga pakaian kerana didakwa melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol angin di Semabok, dekat sini, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata suspek lelaki berusia 35 tahun itu direman tujuh hari bermula 17 hingga 23 Jun bagi membantu siasatan.
Katanya, polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 8 Jun lalu mengenai kes melepaskan tembakan menggunakan pistol angin di Jalan Johor, Semabok, dekat sini.
“Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah menahan suspek di Puchong, Selangor.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas sebuah beg hitam berisi objek menyerupai pistol berwarna perak hitam tertera tulisan Pietro Beretta Gardone V T, satu kelopak bertulis WE, seunit kelopak pistol dan 30 butir bebola besi dalam simpanan suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
BH ONLINE