Polis buru baki ejen tarik kereta halang laluan di lebuh raya

Tangkap layar daripada rakaman video tular sejak semalam menunjukkan tiga kereta menghalang laluan di PLUS arah selatan dekat Hentian Sebelah Pedas Linggi. BH ONLINE

REMBAU – Polis masih memburu pemandu dua lagi kenderaan dalam video tular menghalang laluan laluan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Hentian Sebelah Pedas-Linggi, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata pihaknya masih menjalankan siasatan jumlah sebenar individu terbabit kejadian berkenaan.

“Setakat ini seorang sudah ditahan tengah malam kelmarin di sekitar Seremban dan kami masih memburu suspek yang masih bebas dalam dua lagi kereta yang dirakam dalam kejadian ini.

“Justeru, individu yang terbabit dalam kejadian itu diminta memberi kerjasama dengan tampil menyerah diri ke balai polis atau terus ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau,” katanya.

Semalam media melaporkan tiga kereta dirakam sengaja menghalang laluan di lebuh raya terbabit, dengan tindakan yang turut dirakam melalui video tular itu disifatkan berbahaya sehingga mengundang kecaman netizen.

Hasani menegaskan suspek yang ditahan kini direman sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

BH ONLINE