Perdana Menteri Poland Donald Tusk berkata pada Rabu di platform sosial X, ruang udara Poland telah dilanggar oleh “sebilangan besar dron Rusia” dan ada yang menimbulkan “ancaman langsung”, lapor Xinhua
Memetik sumber lapangan terbang, Agensi Akhbar Poland (PAP) dilaporkan berkata, ruang udara di atas Lapangan Terbang Warsaw Chopin telah dibuka semula.
“Disebabkan sekatan dan penutupan ruang udara, gangguan dan kelewatan yang mungkin berlangsung sepanjang hari harus dijangkakan,” Lapangan Terbang Warsaw dipetik sebagai berkata.
Ia menambah bahawa penumpang perlu menyemak status penerbangan semasa di laman web lapangan terbang dan mendapatkan maklumat terperinci terus daripada syarikat penerbangan.
Menurut media tempatan RMF24, ruang udara di atas lapangan terbang di Modlin dan Rzeszow juga telah dibuka semula, tetapi masih ditutup di Lublin.
Jurucakap LOT Polish Airlines Krzysztof Moczulski mengumumkan pagi ini di platform X, disebabkan penutupan sementara ruang udara, beberapa penerbangan LOT telah dialihkan ke lapangan terbang lain di Poland.
Tentera Poland menembak jatuh dron atas Poland selepas ruang udara Poland berulang kali dilanggar semalaman dari Selasa hingga Rabu, menurut satu kenyataan dari Perintah Operasi Angkatan Tentera Poland.
Menteri Pertahanan Poland Wladyslaw Kosiniak-Kamysz dilaporkan berkata pada Rabu, tentera udara negara itu telah menggunakan senjata terhadap objek musuh yang telah memasuki ruang udara Poland.



