Pertahanan awam di Gaza beri amaran ‘bencana kemanusiaan’ akibat hujan

GAZA — Pertahanan Awam di Semenanjung Gaza memberi amaran pada Ahad mengenai ‘bencana kemanusiaan’ akibat air hujan, yang boleh menyebabkan banjir dan kerosakan pada khemah orang dipindahkan.

Pihak Berkuasa Pertahanan Awam berkata dalam satu kenyataan akhbar “disebabkan hujan, khemah orang yang dipindahkan di kem perlindungan Stadium Yarmouk, Taman Perbandaran Gaza, Kem Pantai, dan khemah yang didirikan di sekolah di Kota Gaza telah rosak.”

“Kami berdepan dengan bencana kemanusiaan sekiranya orang kehilangan tempat tinggal di kem terus dalam keadaan ini, terutama memandangkan kerosakan pada banyak khemah mereka dan ketidaksesuaian mereka untuk berteduh,” tambahnya.

Pihak berkuasa menyatakan kebimbangan keadaan mungkin merosot dengan bermulanya musim sejuk.

Ia memberi amaran, penduduk yang tinggal di kawasan rendah menghadapi “bencana nyata” jika mereka terdedah kepada air hujan, kerana saluran kumbahan tersekat akibat kemusnahan infrastruktur oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza.

Mahmoud Basal, jurucakap Pertahanan Awam, memberi amaran tentang risiko runtuhan di rumah dan bangunan tempat penduduk melarikan diri, kerana struktur ini mengalami keretakan dan kerosakan teruk akibat pengeboman di kawasan mereka.

Basal menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyelamatkan nyawa penduduk Palestin yang terlantar di Semenanjung Gaza sebelum terlambat dan melindungi mereka daripada kesusahan musim sejuk dengan menyediakan khemah dan karavan.

“Hujan menambah sengsara kami dan memburukkan lagi keadaan kami untuk berada dalam situasi bencana ini,” kata Rajab Abu Warda, yang tinggal bersama keluarganya di khemah sementara didirikannya di tengah Kota Gaza.

Dia menambah, hujan dan angin telah menjadikan kehidupan mereka “tidak tertanggung.”

XINHUA