Perdana Menteri Nepal K.P. Sharma Oli meletak jawatan pada Selasa ketika penunjuk perasaan antirasuah menentang perintah berkurung yang tidak jelas dan bertempur dengan polis, sehari selepas 19 orang maut dalam protes ganas dicetuskan oleh larangan media sosial, lapor Reuters.
Kerajaan Oli dilaporkan menarik balik larangan itu selepas protes meningkat pada Isnin, dengan polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan yang cuba menyerbu parlimen.
Sembilan belas orang dilaporkan terbunuh dan lebih 100 cedera dalam pergolakan itu.
Tetapi protes yang tidak reda pada Selasa memaksa Oli untuk berhenti dan menjerumuskan Nepal ke dalam ketidaktentuan politik yang baru.
Pergolakan itu adalah yang paling teruk dalam beberapa dekad di negara miskin Himalaya itu yang tersepit di antara India dan China dan telah bergelut dengan ketidakstabilan politik dan ketidaktentuan ekonomi sejak protes membawa kepada pemansuhan monarkinya pada 2008.
“Memandangkan situasi buruk di negara ini, saya meletak jawatan berkuat kuasa hari ini untuk memudahkan penyelesaian masalah dan membantu menyelesaikannya secara politik mengikut perlembagaan,” Oli dipetik sebagai berkata dalam surat peletakan jawatannya kepada Presiden Ramchandra Paudel.
Seorang pembantu kepada Paudel memberitahu Reuters, peletakan jawatan telah diterima dan Presiden telah memulakan “proses dan perbincangan untuk pemimpin baharu”.
Tentera menghantar rayuan di X meminta orang ramai untuk “menahan diri” memandangkan peletakan jawatan Oli telah diterima.
Oli, 73, mengangkat sumpah untuk penggal keempatnya pada Julai tahun lalu sebagai perdana menteri ke-14 negara itu sejak 2008. Dua daripada rakan kabinetnya meletak jawatan lewat Isnin, berkata mereka tidak mahu meneruskan atas dasar moral.



