KUALA NERUS – “Pendekatan digunakan dalam penganjuran program motivasi rumah tangga (eHATI) amat memalukan khususnya kepada wanita. Perbuatan itu tidak mencerminkan akhlak Islam dan tidak patut disertai sesiapa juga mukmin atau mukminah,” kata Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron.
Beliau yang kesal dengan program mencemarkan martabat wanita dan bertentangan dengan nilai Islam itu, menggesa pihak berwajib lebih berwaspada dalam meluluskan penganjuran program berbentuk motivasi yang berisiko menyentuh sensitiviti agama dan norma masyarakat selepas ini.
Katanya, melalui maklumat diperoleh, pendekatan dilakukan dalam program eHATI terlalu memfokus kepada unsur negatif dan menyimpang jauh daripada adab serta batasan syariah agama.
“Bagaimanapun, maklumat lengkap berkaitan program berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Peserta yang terbabit difahamkan dari pelbagai negeri dan kita tidak dapat pastikan adakah penyertaan dari Terengganu, namun kita menasihati warga negeri ini perlu menjauhi program seperti itu kerana kandungannya bertentangan ajaran Islam,” katanya selepas Program Terengganu Bertadabbur anjuran Yayasan Pendidikan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan terdapat aktiviti bogel dilakukan empat individu pada program eHATI di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 September tahun lalu.
Beliau berkata, aktiviti itu berlaku pada majlis diadakan waktu malam dikenali sebagai ‘Queens Night’ dianjurkan syarikat motivasi terbabit.
Setakat ini, enam individu termasuk pengasas eHATI sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk proses reman dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 294 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Mohamad Sabri berkata, jika kes itu disabitkan bersalah, pihak berkuasa dijangka menetapkan syarat ketat atau melaksanakan pemantauan terhadap sebarang program seumpama itu pada masa depan bagi mengelak kejadian sama berulang.
BH ONLINE



