MELAKA – Pensyarah warga Bangladesh di sebuah universiti awam di Pantai Timur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki, tahun lalu.
Sejurus dibacakan dan diterangkan pertuduhan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah, tertuduh, M Rezaul Karim, 54, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dalam prosiding di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua penuntut lelaki berusia 23 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan dengan cara menyentuh dan mencubit kemaluan mangsa.
Kesalahan didakwa dilakukan dalam bilik sebuah hotel di Melaka Tengah pada 24 dan 25 Oktober 2024, kira-kira jam 3.15 pagi dan 2.30 pagi mengikut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Norhayati Yusof tidak menawarkan jaminan, namun memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan jika Majistret membenarkan tertuduh sebagai warga asing diikat jamin.
Peguam Mohd Faiezad Razali memohon jaminan rendah kerana tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun.
Tertuduh juga sudah lima tahun tinggal di Malaysia dan memberikan kerjasama baik kepada pegawai penyiasat.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan bagi serahan dokumen pada 27 Mac depan.
BH ONLINE