Kementerian Pendidikan (KPM) akan menempatkan sementara pengetua, penolong kanan hal ehwal murid (HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai, lapor BH Online.
KPM dalam kenyataan dilaporkan berkata, keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa pasukan petugas khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
“Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut adalah keutamaan KPM pada masa ini.” kenyataan itu dipetik sebagai berkata.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai, menurut laporan BH Online.



