Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Krai, hari ini atas pertuduhan membunuh bapanya di Kampung Kuala Gris, Dabong Rabu lalu, lapor BH Online.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, Narosman Othman, 39, di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Menurut BH Online, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian terhadap Othman Juseh, 74, antara jam 6 hingga 6.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Kuala Gris.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi suatu tempoh tidak kurang 30 tahun hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Mohd Hafiz Iman Asri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Mohd Hafiz Iman dilaporkan memohon tertuduh dihantar ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan mental.
Mahkamah menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan mental, menurut laporan BH Online.
Media sebelum ini melaporkan, seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul anak lelakinya yang dipercayai dalam pengaruh dadah di Kampung Kuala Gris, Dabong.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, dikatakan berlaku perbalahan antara suspek dan mangsa sebelum lelaki terbabit didakwa memukul bapanya menggunakan objek tumpul.
Mangsa dikatakan cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.



