KOTA BHARU – Seorang abang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan merogol adik perempuan pada April 2023, Disember 2024 dan April 2025.
Tertuduh berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang perempuan berusia 13 tahun yang juga adiknya, yang mana perhubungan dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Cherang Hangus, dekat Bachok, pada April 2023, Disember 2024 dan April 2025.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri mencadangkan jaminan RM15,000 masing-masing bagi setiap pertuduhan.
Sementara itu, Mohd Firdaus memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan mempunyai isteri yang sedang mengandung.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM30,000 dan menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
BH ONLINE



