Pembantu kedai makan didakwa langgar mati 3 pejalan kaki mahu solat Aidilfitri

TELUK INTAN — Pembantu kedai makan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga melanggar mati tiga lelaki Pakistan yang dalam perjalanan solat sunat Aidilfitri, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azizol Abdul Rasheed, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa memandu Proton Iswara di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Khan Adil, 33, Muhammad Zahir, 31 dan Shayan Muhammad, 22, di KM 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, di sini, jam 8.10 pagi, 10 April 2024.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Naidatul, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga lagi lelaki warga Pakistan.

Mengikut pertuduhan keempat sehingga keenam, Mohd Azizol didakwa memandu kenderaan sama di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan Khan Yaseen, 20, Khan Saleem, 24, dan Khamran Ali, 27, di masa dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1a)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun katanya, jika mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

“Pihak pendakwaan juga memohon lesen semua jenis kenderaan milik tertuduh, digantung sementara sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam Aliff Aiman Rusli yang mewakili tertuduh pula memohon satu jaminan minimum ditawarkan atas alasan anak guamnya yang berpendapatan RM50 sehari perlu menanggung ibu berusia 52 tahun.

“Anak guam saya juga ada satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kes urin. Bagi kes itu dia sudah hadir tanpa gagal atau cuba melarikan diri,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, di samping menggantung lesen memandunya sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 19 Februari depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pada 10 April tahun lalu, media melaporkan tiga lelaki warga Pakistan maut, manakala tiga lagi parah dirempuh kereta dipandu tertuduh ketika kesemua mangsa berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dua hari kemudiannya, lelaki itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memasukkan dadah berbahaya jenis tetrahydro-cannabinol (THC) ke dalam dirinya.

BH ONLINE