Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya pada Februari dan Mei lalu.
Tertuduh berusia 46 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap anak perempuannya berusia 11 tahun ketika itu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum bawah Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal membabitkan kontak fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa sama, mengikut Seksyen 14(d) Akta 792 yang boleh dihukum bawah Seksyen 14 dan dibacakan bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan bawah Seksyen 14 Akta 792, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, manakala bawah Seksyen 16(1) akta sama pula boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan minimum dua sebatan.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut, Port Dickson.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, tidak menawarkan sebarang ikat jamin tetapi menyerahkan kepada budi bicara mahkamah bagi membenarkan jaminan dengan cadangan RM50,000 bagi setiap pertuduhan.
Beliau turut memohon tiga syarat tambahan sekiranya mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin.
Peguam, V Segaran pula memaklumkan bahawa anak guamnya sudah tidak tinggal serumah dengan mangsa sejak Mei lalu, malah menyerah diri kepada polis selepas mengetahui dia diburu.
Beliau berkata, anak guamnya adalah seorang pemandu lori berpendapatan RM3,000 sebulan, mempunyai tiga anak dan akan dijamin oleh abang iparnya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tertuduh perlu melapor diri setiap bulan, tidak mengganggu saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah, serta memberi kerjasama kepada polis sekiranya diperlukan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Ogos depan.
Sumber: BH ONLINE



