Pemancing maut terkena kipas enjin bot

KUCHING – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas terkena kipas enjin bot di Sungai Baram, di Miri, hari ini.

Mangsa, Vincent Patrick, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Jeansher Bunsu, 27, yang memandu bot, cedera di bahagian kepala dan tangan sebelah kiri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa menaiki bot getah (inflatable boat) dengan enjin 30 kuasa kuda menuju ke hulu Sungai Baram untuk memancing.

“Tiba di lokasi berdekatan Rumah Panjang Mekar Sungai Putat, Asam Paya di Kuala Baram, bot angin yang dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan berpusing.

“Kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam sungai menyebabkan pemandu bot yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan manakala rakannya meninggal dunia akibat terkena bilah kipas enjin bot,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu disedari penduduk rumah panjang yang kebetulan berada di sungai dan mereka menyelamatkan dua pemancing itu.

“Mangsa yang cedera kemudian memandu bot ke hilir sungai menuju jeti Rumah Panjang Mekar dan membawa rakannya yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya lagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong yang diarah ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 11.22 pagi bersama anggota polis membantu mengangkat mayat mangsa dari jeti.

“Pemandu bot yang cedera dikejarkan ke Hospital Miri menggunakan ambulans manakala mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

BH ONLINE