Pemancing disyaki disambar buaya di Limbang

KUCHING – Satu lagi kes serangan buaya dilaporkan di negeri ini apabila seorang lelaki disyaki disambar reptilia itu ketika sedang memancing di Kampung Pandam, Limbang, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang pada jam 3.13 petang, memaklumkan kejadian itu yang berlaku kira-kira 63 kilometer dari balai.

Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Karim Osman, 58, dilaporkan hilang selepas rakannya menemui peralatan memancing miliknya di lokasi kejadian.

“Rakannya yang tiba di tempat kejadian hanya menemui barangan milik Karim namun dia tidak ditemui di kawasan sekitar.

“Selepas gagal mengesan mangsa, rakannya segera membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang kini sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.

“Operasi SAR hari pertama itu membabitkan tiga anggota dengan satu bot,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, seorang lelaki disambar buaya ketika memancing di tebing Sungai Paroh di Matang, di sini, kira-kira jam 10 malam.

Mayat mangsa dengan kesan gigitan buaya di beberapa bahagian badan ditemui pada jam 12.30 tengah hari, 28 Jun lalu.

BH ONLINE