Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula jenazah pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama, lapor BH Online hari ini.
Menurut AGC, seperti dilaporkan, tindakan terbaru itu antara beberapa arahan dikeluarkan pihaknya untuk siasatan secara menyeluruh dilakukan.
Katanya, keperluan untuk menggali semula jenazah Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan PDRM (polis Diraja Malaysia) memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina,” katanya melalui kenyataan hari ini, seperti dilaporkan BH Online.
AGC juga dilaporkan berpendapat, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.



