JOHOR BAHRU – Empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah RM3,000 bagi kegiatan ‘pasport terbang’ di kaunter zon masuk motosikal, sempadan Johor-Singapura direman enam bermula hari ini.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman empat suspek berusia antara 20-an hingga 40-an, hingga 1 Ogos ini.
Semalam empat suspek berkenaan ditahan di pejabat SPRM Johor kerana disyaki menerima rasuah bagi kegiatan pasport terbang.
Dua suspek utama ditahan Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter kelmarin.
Susulan itu, dua lagi pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki bersubahat. Penahanan itu membawa kepada penemuan 14 pasport warga asing, empat telefon bimbit milik kedua-dua suspek utama serta wang rasuah bernilai kira-kira RM3,000 telah ditemukan.
Siasatan awal mendapati wang tunai dan telefon bimbit itu mempunyai kaitan dengan transaksi rasuah.
Bagi setiap satu pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik pasport, semua suspek akan menerima wang rasuah kira-kira RM200.
BH ONLINE



