Orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, dilaporkan terbunuh dan cedera sejak fajar Rabu, apabila pesawat perang Israel melakukan serangan udara di pelbagai kawasan di Jalur Gaza.
Menurut Agensi Berita & Info Palestin (WAFA), sumber perubatan melaporkan lima ahli keluarga Daour, membabitkan ibu, bapa, dan tiga anak berusia empat, tujuh, dan sembilan tahun, terbunuh apabila tentera Israel mengebom sebuah khemah melindungi orang kehilangan tempat tinggal di kem pelarian Al-Shati, barat bandar Gaza.
Dua lagi orang awam dilaporkan terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila tentera Israel menyasarkan rumah keluarga Al-Masri dekat persimpangan Al-Samer, hampir dengan Dewan Perniagaan di bandar Gaza, manakala lima lagi ditemui dari bawah runtuhan.
Di Khan Yunis di selatan Gaza, tiga orang awam, membabitkan seorang ibu dan dua anaknya berusia tiga bulan dan 10 tahun, dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel yang melanda sebuah rumah kediaman.
Di tengah Gaza, seorang awam dilaporkan terbunuh dan yang lain cedera selepas tentera Israel mengebom sebuah rumah di kem pelarian Al-Nuseirat.



