Sebuah pesawat terhempas di timur laut Colombia pada Rabu, mengorbankan semua 15 orang di dalamnya termasuk seorang penggubal undang-undang, lapor Reuters memetik sumber dari tentera udara negara dan media tempatan.
Pesawat turboprop enjin berkembar Beechcraft 1900 itu berlepas sebelum tengah hari dari Cucuta, di sempadan dengan Venezuela, untuk penerbangan singkat ke pekan Ocana, kata syarikat penerbangan milik kerajaan Satena, menurut Reuters.
Kawalan trafik udara terputus hubungan dengan pesawat itu 12 minit selepas penerbangan, tambah syarikat penerbangan itu.
Penggubal undang-undang Diogenes Quintero dan pembantunya berada di dalam pesawat itu, kata wakil Quintero dalam satu kenyataan, menurut Reuters.
Menurut Reuters, akhbar El Tiempo juga melaporkan bahawa Carlos Salcedo, calon Kongres menjelang pilihan raya pada Mac, berada di atas pesawat.
Kawasan tempat pesawat itu hilang adalah kawasan pergunungan yang ditanam dengan daun koka, bahan mentah untuk kokain, dan tempat kumpulan bersenjata haram seperti Tentera Pembebasan Kebangsaan dan puak pembangkang Angkatan Tentera Revolusi Colombia beroperasi.























