Seorang pemandu kereta api terbunuh dan 40 lagi cedera pada Selasa selepas dua kereta api bertembung secara berdepan di landasan kereta api menuju ke kubu Inca di Machu Picchu, tapak pelancongan utama negara Andean yang menarik lebih 1 juta pengunjung setiap tahun, lapor Reuters.
Menurut laporan berita itu, polis sedang menyiasat perlanggaran antara kereta api yang dikendalikan oleh Inca Rail S A dan PeruRail S A, yang kebanyakannya mengangkut pelancong ke tapak ikonik itu.
Seorang pegawai kesihatan dilapor berkata, kira-kira 20 orang berada dalam keadaan yang agak serius.
Menurut Reuters, seorang pegawai polis menambah bahawa pelancong asing adalah antara yang cedera.
Gambar yang disiarkan di media sosial sejurus selepas nahas itu menunjukkan lokomotif yang rosak teruk berhadapan antara satu sama lain di landasan, pecahan kaca berselerak dan orang yang cedera dirawat di tepi landasan, lapor Reuters.

















