Seorang mudir sebuah pondok disambung reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret di Pasir Mas, hari ini, bagi membantu siasatan kes amang seksual dan liwat seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, lapor BH Online.
Menurut laporan itu, perintah sambung reman dikeluarkan oleh Majistret Syed Farid Syed Ali bermula esok sehingga 12 September ini.
Sebelumnya, lelaki berusia 46 tahun itu dilaporkan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bermula 30 Ogos sehingga esok sebelum disambung reman.
Mudir (pengetua) terbabit dilaporkan ditahan selepas polis menerima laporan daripada mangsa dan dia ditahan dalam sebuah kenderaan di tepi jalan jam 4.06 petang, pada 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie dilaporkan mengesahkan lanjutan reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Suspek direman kali pertama selama tujuh hari bermula 30 Ogos lalu. Reman disambung tujuh hari lagi bermula esok bagi membolehkan siasatan diteruskan terhadap kes itu,” dia dipetik berkata.



