KUALA LUMPUR — Menara Kuala Lumpur akan disinari dengan lampu hijau setiap malam bagi menandakan masuknya waktu solat Maghrib dan Isyak di Wilayah Persekutuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazli Saad, berkata idea itu tercetus secara spontan ketika satu majlis yang diadakan bersama Media Prima Berhad.
Katanya, pencahayaan hijau itu juga sebagai usaha untuk mendekati komuniti setempat.
“Kerjasama bersama Media Prima ini termasuk TV3, TV9 dan Tonton sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam mempromosikan nilai positif dan mengukuhkan perpaduan.
“Pencahayaan hijau ini adalah cara yang ringkas tetapi bermakna untuk memberi inspirasi kepada refleksi dan menggalakkan kebersamaan dalam komuniti kita.
“Inisiatif ini mengukuhkan dedikasi Menara Kuala Lumpur dalam menyumbang kepada masyarakat termasuk menyokong program yang memupuk perpaduan budaya dan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Nazli berkata pelbagai program dianjurkan oleh pihaknya pada tahun ini termasuk menganjurkan Majlis Cerapan Rasmi Anak Bulan Ramadan dan Syawal.
“Meraikan tradisi rakyat Malaysia iaitu Pertandingan Memasak Bubur Lambuk, Sesi Iftar di Dari Dapur TEMU bersama anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan ketika Ramadan.
“Usaha ini selaras dengan misi Menara Kuala Lumpur untuk menyatukan masyarakat dan meraikan warisan Malaysia,” katanya.
Menara Kuala Lumpur yang terletak di puncak Bukit Nanas, adalah menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia.
Berdiri megah pada ketinggian 421 meter di tengah ibu kota Kuala Lumpur, ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan menarik antaranya Sky Deck, Sky Box, dewan bankuet TEMU, Restoran ARAS, pelantar pemandangan, Tower Walk 100, kafe, gerai cenderamata dan perkhidmatan shuttle.
Menara ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi sehingga 10 malam.
Ia adalah ahli ‘The World Federation of Great Towers’, iaitu sebuah persekutuan yang dianggotai oleh 50 menara terkenal di dunia.
BH ONLINE