Pihak Berkuasa Am Libya bagi Mencari dan Mengenalpasti Orang Hilang mengumumkan pada Rabu, 3,297 orang masih hilang akibat banjir besar yang melanda bandar Derna di timur hampir dua tahun lalu dalam pengiraan rasmi pertama, lapor Anadolu.
Pengumuman itu dibuat semasa sidang media di Tripoli oleh ketua pihak berkuasa, Kamal al-Siwi, menurut Anadolu memetik catatan pihak berkuasa di platform Facebook.
“Kami telah merekodkan 3,297 orang hilang daripada mangsa Ribut Daniel, yang melanda bandar Derna,” Al-Siwi dipetik sebagai berkata.
Dia dilaporkan berkata, pihak berkuasa telah mengumpul sekitar 3,078 sampel DNA rujukan dan menghantarnya ke jabatan makmal, yang telah menyelesaikan analisis mereka sepenuhnya, memuktamadkan pangkalan data genetik mangsa dan mula menganalisis sampel tulang daripada mayat yang tidak dikenali.
Pada 10 September 2023, ribut Mediterranean Daniel dilaporkan melanda beberapa kawasan di timur Libya, terutama bandar Benghazi, Al Bayda, Al Marj dan Susah, selain Derna – yang paling teruk dilanda – selepas keruntuhan empangan Al-Bilad dan Abu Mansour.
Empangan itu dikatakan menahan air di Wadi Derna, yang apabila dilepaskan, melonjak dengan kuat, menghanyutkan segala dilaluinya. Bencana itu mengorbankan 4,540 orang — 3,964 rakyat Libya dan 576 warga asing — menurut angka rasmi, seperti dilaporkan Anadolu.
Sejak itu, dikatakan tiada jumlah rasmi kehilangan telah diumumkan sehingga kenyataan Al-Siwi.
Sejurus selepas bencana itu, 12 negara dilaporkan datang untuk membantu Libya: Türkiye, Mesir, Jordan, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Tunisia, Algeria, Malta, Itali, Sepanyol dan Perancis.
Pada 28 Julai 2024, Mahkamah Jenayah Derna menjatuhkan hukuman penjara antara 9 hingga 27 tahun kepada 12 pegawai berhubung keruntuhan empangan Derna, Anadolu memetik kenyataan Peguam Negara Al-Siddiq Al-Sour.



