Letupan bunga api di Mexico cedera 30 dalam acara Virgin of Guadalupe

MEXICO CITY – Satu letupan bunga api di Mexico mencederakan sekurang-kurangnya 30 orang pada Khamis semasa festival Virgin of Guadalupe di sebuah gereja di negeri Guerrero, kata pihak berkuasa tempatan.

Tiga kanak-kanak, yang cedera parah dalam letupan di pekan Tlalchapa itu, telah dihantar ke hospital pakar.

Pada 12 Dis setiap tahun, Mexico meraikan hari Virgin of Guadalupe, ikon keagamaan nasional. Walaupun berjuta-juta jemaah Katolik berkumpul di Basilika di Mexico City, kebanyakan gereja tempatan juga mengadakan sambutan sendiri.

Perlindungan awam Guerrero berkata sekurang-kurangnya 30 orang cedera dalam letupan di Tlalchapa.

“Kerajaan negeri menyediakan kemudahan untuk mengangkut tiga kanak-kanak bawah umur yang cedera parah dalam letupan pitoteknik besar itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Gabenor negeri Evelyn Salgado berkata di X dia memantau pemindahan kanak-kanak itu ke hospital pakar.

Orang ramai yang mengalami luka bakar ringan dan kerosakan pendengaran turut dipindahkan ke hospital berbeza di rantau ini.

Sambutan rakyat Mexico biasanya disertai dengan penggunaan bunga api dan piroteknik lain. Pegawai kesihatan telah memberi amaran kepada penduduk untuk mengambil langkah berjaga-jaga, terutama dengan kanak-kanak.

REUTERS