Lelaki maut, adik melecur dalam kebakaran rumah pagi tadi

SANDAKAN — Seorang lelaki maut, manakala adiknya melecur selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Batu Sapi Karamunting, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Jailan Jaimin, 35, yang mengalami strok ditemukan rentung oleh pasukan bomba di ruang tamu rumah berkenaan.

Adik lelaki mangsa berusia lingkungan 20-an pula melecur di bahagian belakang badan, manakala beberapa ahli keluarga lain berjaya keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi.

Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Dalam kejadian itu juga, kereta Proton Saga dan Nissan sedan musnah sepenuhnya, manakala lori 10 tan pula terbakar 80 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Severinus berkata, operasi pemadaman menggunakan dua aliran tiga pancutan dengan sumber air jentera.

“Hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa rentung ditemukan di kawasan ruang tamu rumah dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.27 pagi dan api dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.35 pagi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

BH ONLINE