SEREMBAN – Pemandu arah eko pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara berusia 12 tahun.
Tertuduh yang berusia 20 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan pada jam 10.22 malam di sebuah rumah pada 25 Mei lalu dan kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah di Kuala Pilah pada hujung Jun lalu.
Dengan itu tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika disabitkan boleh dipenjara sehingga tempoh 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memberitahu mahkamah bahawa tertuduh adalah bapa saudara kepada mangsa dan memohon jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia bekerja sebagai pemandu arah di sebuah pusat eko pelancongan di Johol, Kuala Pilah dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung ibu bapa.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 beserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai, melapor diri setiap bulan serta menyerahkan pasport.
Sebutan semula untuk serahan dokumen pada 18 Ogos ini.
BH ONLINE



