Lelaki bersenjata menyerang sebuah masjid di barat laut Nigeria pada pagi Selasa, membunuh sekurang-kurangnya 13 orang semasa solat pagi, lapor AP memetik pihak berkuasa tempatan.
Tiada sesiapa segera mengaku bertanggungjawab atas serangan di pekan Unguwan Mantau, di negeri Katsina itu, tetapi serangan seperti itu menurut laporan AP, biasa berlaku di wilayah barat laut dan utara-tengah Nigeria di mana pengembala dan petani tempatan sering bertelagah kerana akses terhad kepada tanah dan air.
Serangan itu telah membunuh dan mencederakan ramai – bulan lalu, serangan di utara-tengah Nigeria membunuh 150 orang. Konflik yang berpanjangan telah menjadi lebih maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pihak berkuasa dan penganalisis memberi amaran, lebih ramai pengembala mengangkat senjata.
Pesuruhjaya negeri, Nasir Mu’azu, dipetik berkata tentera dan polis telah ditempatkan di kawasan Unguwan Mantau untuk mencegah serangan selanjutnya, sambil menambah, lelaki-lelaki bersenjata sering bersembunyi di antara tanaman di ladang semasa musim hujan untuk melakukan serangan ke atas komuniti.
Menurutnya, serangan di masjid itu berkemungkinan sebagai tindakan balas terhadap serbuan oleh penduduk pekan Unguwan Mantau, yang pada hujung minggu menyerang hendap dan membunuh beberapa lelaki bersenjata di kawasan itu.



