Lebih 20 rakyat Palestin terbunuh dan yang lain cedera sejak fajar Jumaat, apabila tentera pendudukan Israel meneruskan pengeboman mereka di seluruh Jalur Gaza, lapor Agensi Berita & Info Palestin (WAFA).
Menurutnya, sumber perubatan melaporkan, dalam salah satu serangan paling maut, 14 orang awam terbunuh dalam serangan udara Israel menyasarkan sebuah rumah di kawasan Al-Tuwam, utara bandar Gaza.
Empat lagi rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan yang lain cedera apabila tentera Israel menyerang kawasan Jabalia al-Nazla di utara Jalur Gaza.
Dua lagi warga Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila khemah melindungi keluarga pelarian di kem pelarian Al-Shati, barat bandar Gaza, menjadi sasaran.
Di Rafah, seorang terbunuh dan yang lain cedera akibat tembakan Israel sementara menunggu pengagihan bantuan di utara bandar itu, manakala seorang lagi warga Palestin terbunuh di Khan Younis, di selatan jalur itu.
Di kawasan Al-Sudaniya, barat laut bandar Gaza, beberapa orang awam terbunuh dan cedera apabila sebuah rumah dilanda oleh serangan udara Israel.
Sementara itu, di Deir al-Balah, tengah Gaza, seorang lelaki Palestin meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan terdahulu.
Pada awal pagi hari ini, pesawat perang Israel dilaporkan menyasarkan tiga rumah milik keluarga Abu Meiri di timur bandar itu.



