Ketua-ketua pertahanan Jepun, UK dan Itali pada Selasa membincangkan kerjasama tiga hala mereka untuk bersama-sama membangunkan pesawat pejuang generasi akan datang, lapor Anadolu.
Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi; Setiausaha Pertahanan UK, John Healey; dan Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto mengadakan Mesyuarat Menteri Pertahanan Trilateral melalui telesidang, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Jepun, lapor Anadolu.
“Pada pertemuan ini, ketiga-tiga menteri membincangkan Program Udara Tempur Global (GCAP), kerjasama tiga hala, untuk bersama-sama membangunkan pesawat pejuang generasi akan datang,” kenyataan itu dilapor sebagai berkata.
Healey dan Crosetto mengucapkan tahniah kepada Koizumi atas pelantikannya sebagai menteri pertahanan Jepun. Sebagai tindak balas, Koizumi menyatakan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan kedua-dua mereka bagi memastikan kemajuan GCAP yang mantap.
Ketiga-tiga ketua pertahanan itu “menegaskan kembali komitmen mereka dalam mesyuarat sebelumnya pada Julai untuk memuktamadkan kontrak antarabangsa pertama antara GCAP International Government Organization (GIGO) dan Joint Venture Edgewing dalam tahun ini, dan bersetuju untuk terus bekerjasama rapat untuk memuktamadkan pengaturan yang diperlukan,” tambah kenyataan itu.



