KUALA TERENGGANU – Hajat seorang peniaga untuk mendapatkan kerja sambilan secara atas talian tidak kesampaian, malah lebih malang wang miliknya berjumlah lebih setengah juta ringgit pula lesap.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 38 tahun merupakan peniaga buah-buahan serta barangan runcit di sebuah pasar dan juga merupakan peniaga lembu.
Menurutnya, 14 Mei lalu mangsa menerima pesanan dari kenalan Facebook dengan menawarkan kepada mangsa kerja sambilan yang dapat menjana pendapatan lumayan.
Katanya, mangsa yang berminat dengan iklan itu kemudiannya diterangkan oleh penama (rakan Facebook) mengenai kerja yang perlu dibuat.
“Mangsa perlu membuat pembelian pelbagai barangan kononnya melalui satu aplikasi ternama yang dimuatnaik melalui pautan yang diberikan.
“Selepas bersetuju, mangsa diberikan satu pautan untuk memuatnaik aplikasi pembelian ternama itu seperti yang diarahkan,” katanya.
Beliau berkata, kemudian mangsa kononnya menerima arahan dari khidmat pelanggan untuk melaksanakan tugasan yang diberikan.
Menurutnya, pada mulanya mangsa membuat kerja yang diarahkan dan mangsa berjaya menerima pulangan wang seperti yang dijanjikan.
Tambahnya, bagaimanapun untuk tugasan yang berikutnya, mangsa tidak menerima keuntungan yang dijanjikan yang mana mangsa diarahkan menyelesaikan beberapa tugasan yang yang diberikan terlebih dahulu sebelum menerima komisyen seperti yang dijanjikan.
“Walaupun sudah menyelesaikan beberapa tugasan yang diberikan, mangsa masih tidak diberikan komisyen seperti yang dijanjikan itu.
“Mangsa yang curiga dan mengesyaki dirinya sudah ditipu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM500,639 kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 2.29 petang semalam,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dalam urusan tersebut mangsa membuat 38 transaksi ke 22 akaun yang berbeza.
Menurutnya, sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan miliknya, kad kredit dan juga pinjaman dari kenalan.
BH ONLINE



