ALOR SETAR — Seorang bekas kerani bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang sebuah masjid di Kuala Nerang berjumlah RM115,900 pada 2022.
Mohd Abd Rahman Hamzah, 41, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atanya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang, secara curang melakukan pecah amanah harta iaitu wang dalam akaun Masjid Kampung Paya, Kuala Nerang berjumlah RM115,900 dengan menjadikannya sebagai kegunaan sendiri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.27 tengahari antara 23 Mac 2022 hingga 26 Julai 2022 di Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan disebat serta denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ab Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Ilyana Syafiqa Md Saad.
Mengikut fakta kes, Abd Rahman didapati mengeluarkan wang secara salah daripada akaun Masjid Kampung Paya dengan siasatan polis mendapati wang itu digunakan bagi melakukan pelaburan di dalam aktiviti perdagangan mata wang asing (FOREX).
Kegiatan itu bagaimanapun, terbongkar selepas pengurusan Bank Rakyat melakukan audit dalaman sebelum kes dilaporkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.
Dalam rayuannya, Ilyana Syafiqa meminta jaminan rendah dikenakan ke atas anak guamnya berikutan tertuduh tidak lagi mempunyai pendapatan tetap selepas diberhentikan kerja selain dia memberikan kerjasama penuh kepada siasatan dalaman yang dilakukan Bank Rakyat.
Tertuduh yang masih menanggung isteri, emak dan dua anak berusia tujuh dan 12 tahun juga memberi kerjasama sepanjang proses siasatan polis termasuk hadir memberi kenyataan kepada pegawai penyiasat kes berkenaan.
Pihak pendakwaan kemudian mencadangkan mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM60,000 serta dua penjamin berikutan kes berkenaan dianggap serius.
Hakim Mazdi membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 beserta seorang penjamin dengan syarat dia perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan, menyerahkan pasport dan pas sempadan dan dilarang berjumpa atau ganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 16 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan proses serahan dokumen.
BH ONLINE