Suatu ketika Abu Bakar didatangi tiga orang tetamu. Bagi menghormati mereka, Abu Bakar berniat memberikan jamuan sekadarnya.
Beliau ke belakang menemui isterinya. Beliau mendapati persediaan makanan di hari itu hanya sedikit. Dan beliau berasa makanan itu tidak akan cukup untuk di makan tiga tamunya.
Tiba-tiba di hati Abu Bakar muncul keyakinan bahawa Allah jualah yang memberi rezeki kepada hamba-Nya.
Abu Bakar kemudian menjemput tetamunya untuk makan dengan jumlah yang amat sedikit. Namun, makanan itu tidak habis meskipun mereka berkali-kali menambah. Semuanya menjadi hairan.
Itulah kekeramatan, suatu keajaiban atau peristiwa luar biasa yang terjadi di rumah Abu Bakar.
Abu Bakar kemudian menemui Nabi SAW dan menceritakan peristiwa luar biasa itu. Dikatakan makanan yang sedikit itu cukup untuk menjamu tamunya. Bahkan, masih ada bakinya.
Sahabat kemudian ramai-ramai ke rumah Abu Bakar dan ikut menikmati makanan itu. Kisah ini diceritakan dalam buku Nashaihul Ibad.