KUALA LUMPUR – Pejabat Peguam Negara (AGC) sudah menulis surat kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock dalam usaha memberi penjelasan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kematian mangsa akibat perbuatan individu tidak dikenali.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata dalam surat berkenaan juga, pihaknya juga memberi penjelasan mengenai beban bukti serta perkara lain, tetapi ia ditolak keluarga mendiang.
“Kami sudah hantar surat itu beberapa bulan lalu, kandungan surat itu lebih kepada keputusan Mahkamah Rayuan, penjelasan mengenai beban bukti dan sebagainya.
“Saya tak boleh dedahkan secara terperinci kandungan surat itu, tetapi kami sudah cuba berhubung dengan keluarga mendiang, mereka enggan menerima,” katanya kepada BH.
Dusuki diminta mengulas kenyataannya sebelum ini yang menyatakan bahawa AGC akan mengutuskan surat kepada keluarga Beng Hock untuk merungkai kes kematian mendiang sejak 16 tahun lalu.
Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terbabit dalam kematiannya.
Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat punca kematian mendiang memutuskan bahawa mangsa mati akibat membunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali ketika berada dalam tahanan SPRM.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis melengkapkan kertas siasatan semula terhadap kes kematian Beng Hock itu dalam tempoh enam bulan.
Mei lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan kertas siasatan semula kematian Beng Hock diklasifikasi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) oleh AGC selepas meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan polis.
Mohon maaf secara terbuka
Pada hari ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock pada 16 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, tampil memohon maaf secara terbuka sambil menyuarakan rasa simpati terhadap penderitaan ditanggung keluarga mendiang sejak insiden itu.
Susulan permohonan maaf itu, Azam turut menyatakan, kesediaan SPRM untuk memberi sejumlah sumbangan ihsan kepada keluarga mangsa, khususnya anak mendiang sebagai tanda keprihatinan.
“SPRM mengambil maklum, pada 12 Mei 2015 kerajaan sudah membayar pampasan RM600,000 kepada keluarga mendiang serta tambahan RM60,000 bagi menampung kos guaman sebagai penyelesaian penuh dan muktamad mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.
“Namun demikian, sebagai tanda keprihatinan, SPRM bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang dalam jumlah yang akan ditentukan kelak bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang,” katanya dalam kenyataan itu.
Namun, permohonan maaf oleh Azam dan tawaran sumbangan ihsan yang dibuat itu ditolak oleh keluarga mendiang yang tetap dengan pendirian menuntut pegawai SPRM yang terbabit dalam insiden itu dihadapkan ke mahkamah.
Sebelum ini keluarga mendiang menyifatkan cadangan AGC kepada Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawarkan pampasan dan permohonan maaf tambahan kepada keluarga Beng Hock adalah tindakan yang memalukan.
BH ONLINE



