
Dalam hidup ini, kita tidak lari daripada berkawan. Ada yang mempunyai ramai kawan, ada yang sedikit bilangan kawan. Namun, kawan bermacam-macam ragam. Berikut disenaraikan beberapa jenis kawan:
1. Kawan yang boleh dibuat sahabat, sehingga ke hujung nyawa.
Ini jarang kita jumpai. Jika ada sekalipun hanya sebilangan, ertinya tak ramai. Kawan yang boleh dibuat sahabat, adalah persahabatan atas dasar ikhlas – ertinya susah atau senang tidak menjadi batasan dalam berkawan. Malahan, apabila susah, dibantu manakala senang, sama-sama dinikmati dan dihargai. Jenis ini, jenis yang baik.
2. Kawan sekadar kawan.
Kawan sekadar kawan, ini ramai. Jenis seperti ini apabila jumpa bertegur, apabila jauh dan tiada kelihatan, dilupakan. Ini biasa. Ada atau tiada, tiada hal.
3. Kawan makan kawan.
Ini harus diambil peringatan. Kawan mempergunakan anda untuk kepentingan dirinya. Kawan seperti ini tidak segan untuk memfitnah anda, membuat cerita tidak betul mengenai diri anda, demi kepentingan dirinya. Ini jika di alam kanak-kanak atau remaja, jarang dijumpai, tetapi jika anda melangkah ke alam dewasa, ke alam pekerjaan, maka anda mudah menjumpainya. Ragam ini berbahaya. Sebagai contoh kawan pejabat anda menambah cerita kepada ketua di pejabat: “Dia (diri anda) memang begitu, selalu datang lambat, malah selalu balik awal.” Maka, secara automatik, diri anda dipandang negatif oleh ketua di pejabat.
4. Kawan yang buat anda macam hamba.
Ini juga harus diperhatikan. Ada orang berkawan dengan anda, sekadar menjadikan anda orang suruhannya. Dia suka jika anda di bawahnya, maksudnya di bawah dalam kapasiti tahap pengetahuan, kecerdikan, atau segala-galanya. Sebaliknya, dia akan cemburu jika mendapati anda lebih berpengetahuan daripadanya, lebih cekap atau lebih berpenampilan daripada dirinya. Maka, ini juga harus waspada.
5. Kawan yang buat anda macam kambing.
Kawan seperti ini hanya menjadikan diri anda sebagai kambing hitam, yakni mempergunakan anda. Jarang orang perhati, tapi ianya berlaku. Contoh paling jelas adalah antara AS dan Israel. Israel kawan kepada AS, dan begitulah sebaliknya, mungkin. Tetapi Israel dipergunakan oleh AS, mengeluarkan belanja yang besar, membeli senjata AS, kemudian menggunakannya di Gaza, dan impaknya mendapat cercaan di pentas dunia, kerana penggunaan dalam konteks tidak wajar — apabila wanita, orang tua dan kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa turut terkorban bahkan paling ramai menjadi mangsa. Yang beli, yang keluar duit, yang guna dan menerima akibatnya adalah Israel. Yang dapat untung, yang tampil ke muka dunia seolah-olah tidak bersalah adalah AS. Maka, selepas Gaza dinodai dengan ganas oleh Israel, tampillah AS konon sebagai ‘penyelamat’ untuk membangunkan semula Gaza, dengan syarat memindahkan penduduknya. Begitulah liciknya permainan AS cuba untuk mendapatkan ‘mileage’ atau membuat ‘keuntungan’ daripada gerak kerja liar Israel. Ragam seperti ini sukar dikesan, sehinggalah ke satu tahap anda terduduk.
6. Kawan yang buat anda macam keropok, ikan atau ayam.
Ini juga harus diambil peringatan. Jangan sampai anda menjadi seperti sebatang keropok atau seekor ikan, disiat-siat, dipotong-potong, atau seekor ayam dipotong 12 dan sebagainya. Dari hari ke hari, setiap langkah dalam hidup ini mesti berhati-hati. Jangan mudah percaya, supaya anda tidak terkena.
7. Kawan buat anda sebagai penyendal.
Ini tentu sangat tidak disukai oleh anda. Apa tidaknya, apabila anda dibuat sebagai penyendal — apabila datang kawan berduit atau berpangkat, misalnya, maka anda ditinggalkan, anda disisihkan, dilupakan. Sehinggalah kawan berduit atau berpangkat itu pergi, maka barulah anda dicari semula. Contoh!
Hati-hati kawan apabila berkawan!