KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan ditemui maut dipercayai digigit beberapa anjing liar di kawasan Kampung Orang Asli Sungai Buloh, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata kejadian disedari ibu bapa mangsa kira-kira jam 8.15 pagi ketika pulang dari tempat kerja.
“Mereka mendapati pintu rumah terbuka sebelum menemui anak mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jarak kira-kira 20 meter dari kediaman.
“Pasangan itu segera membawa mangsa ke Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa tiba di hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan, namun tiada tindak balas.
“Pegawai perubatan kemudian mengesahkan kematian mangsa pada jam 9.14 pagi.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka dan calar pada beberapa bahagian badan mangsa termasuk di kepala.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama bapa saudaranya kerana ibu bapanya keluar bekerja.
“Mangsa dan bapa saudaranya tidur di ruang tamu rumah. Kehilangan mangsa hanya disedari selepas ibu bapanya pulang dan menjerit, lalu bapa saudaranya menyedari mangsa tiada di sebelahnya serta pintu rumah terbuka,” katanya.
Mohd Hafiz berkata, berdasarkan laporan bapa mangsa, mayat anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.
“Maklumat juga boleh disampaikan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194,” katanya.
BH ONLINE



