CHUKAI — Seorang kakitangan sebuah universiti parah selepas dihempap pokok tumbang di sebuah kebun buah-buahan, dekat Bukit Kemuning Kijal, pagi tadi.
Kejadian dipercayai kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa seorang wanita berusia 35 tahun dikatakan memasuki kawasan itu bersama enam lagi kakitangan dan 45 pelajar.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
“Mangsa yang dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut, dilaporkan cedera parah di bahagian kepala. Dia kini ditidurkan di bilik kecemasan.
“Kami telah menghubungi suami mangsa yang tinggal di Kuala Lumpur dan beliau kini dalam perjalanan ke Hospital Kemaman,” katanya.
Hanyan berkata siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan termasuk mangsa dan pelajar dalam bidang geologi itu masuk ke kawasan kebun dekat sempadan hutan simpan di situ untuk membuat kajian.
Katanya, insiden itu disaksikan oleh rakan mangsa yang kemudian menghubungi pasukan perubatan, sebelum
membuat laporan di Balai Polis Kijal Kemaman
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut,” katanya sambil mengesahkan siasatan lanjut sedang dilakukan.
BH ONLINE