Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata pada Ahad, Abu Obeida, jurucakap sayap bersenjata Hamas, terbunuh dalam serangan di Jalur Gaza, lapor Xinhua.
Katz dilaporkan membuat pengumuman itu dalam catatan di X, mengatakan “tidak lama lagi, ketika kempen menentang Gaza semakin meningkat”, lebih ramai tokoh Hamas akan menjadi sasaran.
Dalam ucapannya semasa mesyuarat kabinet mingguannya awal hari, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan berkata cubaan membunuh Obeida dilakukan oleh agensi keselamatan dalaman Shin Bet dan Angkatan Pertahanan Israel.
“Kami masih tidak tahu keputusan akhir,” kata Netanyahu. “Saya harap dia tidak lagi bersama kami, tetapi saya perhatikan bahawa di pihak Hamas, tidak ada sesiapa yang bercakap mengenai perkara ini.”
Televisyen Al Arabiya milik Arab Saudi melaporkan Obeida terbunuh dalam serangan ke atas sebuah apartmen, memetik sumber Palestin, menurut laporan Xinhua.
Semua mereka yang berada di apartmen itu terbunuh, kata sumber itu, sambil menambah bahawa ahli keluarga Obeida dan pemimpin sayap bersenjata Hamas mengesahkan kematiannya selepas memeriksa mayat itu.
Serangan dan tembakan Israel membunuh sekurang-kurangnya 88 orang dalam tempoh 24 jam lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza, menjadikan jumlah kematian sejak Okt 2023, kepada 63,459.



