Israel dakwa bunuh ketua operasi Jihad Islam di Gaza

BAITULMAQDIS — Tentera Israel dan agensi keselamatan dalaman Shin Bet berkata pada Ahad, mereka membunuh Muhammad Abu Sakhil, ketua operasi kumpulan militan Jihad Islam, dalam serangan udara di Semenanjung Gaza.

Komander itu disasarkan dalam “serangan tepat” oleh Tentera Udara Israel pada Sabtu, menurut satu kenyataan bersama. “Abu Sakhil beroperasi di pusat arahan dan kawalan yang tertanam dalam kawasan yang sebelum ini berfungsi sebagai Sekolah Fahd Al-Sabah di utara Gaza,” tambah kenyataan itu.

Pasukan keselamatan Israel menyifatkan Abu Sakhil sebagai “tokoh penting” dalam Jihad Islam, bertanggungjawab merancang dan menyelaraskan serangan, termasuk operasi bersama Hamas terhadap orang awam dan tentera Israel di Gaza.

Gerakan Jihad Islam di Palestin, sering dirujuk sebagai Jihad Islam, adalah kumpulan militan yang beroperasi terutamanya di Semenanjung Gaza.

Ditubuhkan pada 1981, ia adalah kumpulan bersenjata kedua terbesar di Gaza selepas Hamas.

XINHUA