Ibu bersama bayi antara 6 maut nahas 3 kenderaan

SEMPORNA — Enam maut, termasuk seorang ibu bersama bayi lelakinya serta seorang kanak-kanak perempuan, apabila kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Jalan Kalumpang, Semporna-Tawau, di sini, hari ini.

Difahamkan, nahas kira-kira jam 4.50 petang itu membabitkan sebuah kereta Proton Wira, kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova.

Kesemua mangsa terkorban menaiki Proton Wira itu yang dipandu seorang lelaki dengan membawa enam penumpang, termasuk dua lelaki dewasa serta seorang wanita warga emas.

Seorang lagi mangsa menaiki kereta berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan, namun maklumat lengkap identiti kesemua mereka belum diperoleh, setakat ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata empat individu yang menaiki Isuzu D-Max dan empat lagi dalam Toyota Innova bagaimanapun dilaporkan tiada mengalami kecederaan.

Katanya, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 4.58 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan seramai 15 individu dengan enam daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala seorang lagi cedera,” katanya.

Katanya, mayat kesemua mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan pada jam 7.16 malam. Punca kejadian masih dalam siasatan.

BH ONLINE